KOTA KINABALU: Ketua-ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan inisiatif terbaharu Kerajaan Perpaduan sebagai bukti kesungguhan membela nasib rakyat dan memacu pembangunan yang inklusif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, KEADILAN Sabah menyambut baik pengumuman insentif baharu oleh Perdana Menteri yang disifatkan sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan dalam proses pemulihan ekonomi negara.

Antara langkah segera yang diumumkan termasuk pemberian tunai one-off RM100 kepada semua rakyat dewasa, cuti tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September, penggandaan program Jualan Rahmah MADANI, pembekuan kenaikan tol dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter.

“Langkah ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup dan membuktikan kesungguhan Perdana Menteri menangani beban rakyat secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.

KEADILAN Sabah turut menekankan bahawa penurunan harga RON95 amat bermakna buat rakyat negeri itu yang bergantung kepada pengangkutan darat dan sungai, khususnya di kawasan pedalaman. Selain itu, peluasan program Jualan Rahmah ke seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut membuka akses barangan asas murah kepada masyarakat luar bandar.

“Kami melihat pendekatan ini sebagai progresif dan adil kerana bantuan disalurkan terus kepada rakyat tanpa mengira latar belakang atau kategori pendapatan. Ini satu pendekatan baharu yang menyeluruh dan bersifat menyatu,” menurut kenyataan tersebut lagi.

KEADILAN Sabah juga mengiktiraf kesinambungan usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar, menurunkan kadar pengangguran dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mapan. Mereka turut menghargai pelaksanaan program akar umbi seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI yang kini diperluas ke Sabah.

Dalam masa sama, pengisytiharan cuti umum khas Hari Malaysia disambut baik sebagai simbol semangat perpaduan nasional yang semakin kukuh. “Ia adalah isyarat jelas bahawa Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai rakan setara dalam pembinaan negara bangsa,” kata mereka.

KEADILAN Sabah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada rakyat Bumi Kenyalang dan menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara kedua-dua negeri Borneo itu mampu memperkukuh pembinaan negara yang adil dan makmur.

“Segala langkah ini hanyalah permulaan kepada agenda pembaharuan menyeluruh yang digerakkan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri. KEADILAN Sabah menyeru rakyat terus menyokong Kerajaan MADANI yang ikhlas membela nasib rakyat, memulihkan ekonomi dan menyatukan negara,” tegas kenyataan itu.-pr/BNN