LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan telah menahan reman seorang Ketua Penolong Pegawai Perubatan kerana dipercayai menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kerja-kerja bagi syarikat milik isterinya.

Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an direman selama empat hari sehingga 28 Julai 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Labuan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Labuan Ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 5.40 petang semalam.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya dengan mendapatkan kerja-kerja forwarding atau yang berkaitan pengurusan logistik di tempatnya bekerja sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Kerja-kerja yang melibatkan nilai kira-kira RM20,000 berkenaan diberikan kepada syarikat milik isterinya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod Ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM  2009. – pr/BNN