KOTA KINABALU: Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang sebahagiannya musnah dalam kebakaran baru-baru ini perlu dipulihkan kepada reka bentuk dan struktur asalnya, tanpa sebarang perobohan menyeluruh, bagi mengekalkan nilai warisan sejarah dan budayanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee menegaskan, dewan berkenaan yang diwartakan sebagai Tapak Pemuliharaan Warisan Budaya di bawah Enakmen Pemuliharaan Warisan Budaya Sabah 1997, wajar dikekalkan sebagai monumen penting kepada sejarah bandar raya ini sejak era penjajahan.
“Sewaktu lawatan saya ke tapak dewan hari ini, saya dapati kebanyakan dinding konkrit asal masih utuh dan tidak terjejas secara material, kecuali bahagian bumbung yang memerlukan pembinaan semula sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut memberi peringatan agar tiada pihak merobohkan struktur asal bangunan itu dan menggantikannya dengan bangunan moden yang memadamkan memori kolektif masyarakat terhadap pelbagai peristiwa bersejarah yang berlangsung di situ.
“Meskipun terdapat cadangan untuk meroboh dan membina kompleks baharu sejak tahun 1980-an, pewartaan dewan ini pada 1997 sebagai tapak warisan telah melindunginya daripada sebarang pembangunan komersial. Jangan ulangi kesilapan lama,” katanya.
Beliau turut menyeru Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Warisan Budaya Sabah agar mempertahankan tapak tersebut sebagai satu daripada tinggalan warisan budaya yang semakin berkurangan di bandar ini.
“Warisan budaya tidak boleh ditiru. Ia hanya terhasil melalui ujian masa dan menjadi sebahagian daripada jiwa serta kenangan penduduk tempatan. Jangan korbankan nilai sejarah demi membina satu lagi pusat konvensyen moden,” tegasnya.-pr/BNN





