KENINGAU: Usaha memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan komuniti kerja diteruskan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman menyalurkan sumbangan peralatan sukan bola tampar kepada Kelab Sukan Hospital Keningau.

Sumbangan tersebut meliputi bola dan jaring bola tampar, yang diserahkan secara rasmi oleh Ketua Daerah Keningau, OKK Ramanus Michael, bersama Ketua Wiramuda Liawan, Micheal Tambi, kepada Penolong Pegawai Tadbir Hospital Keningau, Bertysia Francisca Kunsiang.

Permohonan bagi mendapatkan sumbangan itu dikemukakan oleh wakil kelab, Stephen Klaus, sebagai inisiatif menyokong pembangunan sukan dalam kalangan warga hospital, selain memupuk suasana kerja yang sihat dan aktif.

Annuar dalam kenyataan ringkas menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memperkasakan kesihatan komuniti menerusi penglibatan aktif dalam sukan di peringkat akar umbi.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penyerahan ini. Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan dan komuniti Hospital Keningau,” katanya.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan kesungguhan kepimpinan ADUN Liawan dalam menyokong aktiviti gaya hidup sihat selari dengan aspirasi pembangunan komuniti sihat dan sejahtera di kawasan pedalaman.-pr/BNN