KENINGAU: Golongan belia Kampung Rancangan Pamalan terus membuktikan mereka bukan sekadar pewaris masa depan, sebaliknya kini tampil sebagai pemimpin muda yang bersedia menggalas tanggungjawab membangunkan komuniti.

Perkara itu dizahirkan menerusi satu program santai yang berlangsung penuh semangat dan keakraban bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman di Dewan Ambihil kampung berkenaan, dekat sini.

Kehadiran serta penglibatan aktif anak-anak muda dalam menjayakan program itu disifatkan sebagai manifestasi kebangkitan generasi baharu yang berani memimpin dan mencorak masa depan kampung mereka sendiri.

“Inilah yang kita mahu – belia yang bukan sahaja aktif, malah berani tampil memimpin dan menggerakkan komuniti. Program ini bukan sekadar untuk berkumpul atau berhibur, tetapi membuktikan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan belia kita,” katanya ketika berucap di majlis itu dan disambut tepukan gemuruh hadirin.

Annuar menegaskan bahawa golongan muda adalah aset terpenting dalam pembangunan akar umbi dan perlu diberi kepercayaan serta ruang untuk bersuara dan bertindak.

“Jika kita mahu kampung terus maju, belia mesti diberi ruang dan kepercayaan. Saya, sebagai pemimpin, sentiasa membuka pintu untuk mendengar suara dan idea anak muda. Jangan takut untuk datang berbincang dan bersama-sama kita jayakan apa jua usaha demi kebaikan kampung kita,” katanya penuh harapan.

Sementara itu, Pengerusi Belia Kampung Rancangan Pamalan, Razlan Aridy turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan wakil rakyat berkenaan terhadap golongan belia di kampung itu.

“Terima kasih YB kerana sentiasa memberi ruang dan peluang untuk kami bersuara serta menyumbang idea. Kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk mentadbir urus kampung ini akan kami manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Program santai berkenaan bukan sekadar aktiviti hujung minggu, malah menjadi simbol keyakinan baharu bahawa belia hari ini bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi pemacu perubahan yang sedang membina harapan, mulai sekarang.-pr/BNN