KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Mohd Lin Hj Harun mengadakan pertemuan strategik bersama Presiden parti, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, semasa rehat sidang Parlimen baru-baru ini.
Pertemuan mesra itu turut membincangkan kesiapsiagaan jentera parti di Bahagian Usukan dalam menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri, selain memperkukuh hubungan antara kepimpinan pusat dan akar umbi.
Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau serta Timbalan Ketua Menteri I Sabah, menyambut kunjungan berkenaan dalam suasana penuh semangat kekeluargaan parti.
Mohd Lin menegaskan, pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan StarSabah dalam memperjuangkan hak rakyat dan agenda pembangunan mampan Sabah.-pr/BNN





