KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dikenali sebagai Waste Walk yang berlangsung di sekitar Teluk Likas baru-baru ini.

Program yang melibatkan penyertaan aktif pengurusan tertinggi dan kakitangan SEC itu diadakan selepas waktu bekerja, dengan aktiviti berjalan sambil mengutip sampah di sekitar Menara SEC, kawasan Tamu KPD dan pesisiran indah Teluk Likas.

Ia bertujuan memupuk kesedaran terhadap kepentingan kebersihan persekitaran dan pemeliharaan alam semula jadi.

Menara SEC, yang mula beroperasi pada Disember 2024, terletak di lokasi strategik menghadap panorama Teluk Likas dan Laut China Selatan – menjadikan pemeliharaan kebersihan kawasan sekitar sebagai keutamaan bersama warga kerja SEC dan komuniti setempat.

Menurut kenyataan syarikat itu, penganjuran program Waste Walk merupakan sebahagian usaha SEC untuk menerajui budaya hijau melalui teladan, di samping memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan.

“Inisiatif ini tidak hanya menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan sihat, malah mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan kebanggaan terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.

Program Waste Walk itu turut menjadi platform mendekatkan hubungan antara warga kerja SEC, sambil menyemai nilai prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada budaya kerja syarikat.

SEC, sebagai salah satu entiti tenaga utama negeri, terus menunjukkan contoh kepimpinan korporat bertanggungjawab dengan mendukung nilai-nilai kemampanan sejajar dengan aspirasi Sabah ke arah pembangunan lestari.-pr/BNN