KENINGAU: Penduduk di sekitar Hotel Ria di sini menarik nafas lega apabila penutup lubang najis yang rosak di tepi jalan berhampiran kawasan tersebut diganti segera oleh pihak Majlis Daerah Keningau (MDK).

Tindakan pantas itu dibuat selepas aduan awam dikemukakan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi N.41 Liawan yang ditubuhkan khusus sebagai saluran komunikasi terus antara masyarakat dan agensi kerajaan.

Difahamkan, kerja pembaikan dan penggantian penutup baharu telah diselesaikan dalam tempoh singkat selepas aduan diterima, sekali gus menghapuskan risiko keselamatan terhadap pengguna jalan raya serta pengunjung kawasan berkenaan.

Pendekatan proaktif MDK itu menerima pujian orang ramai, termasuk peniaga dan penduduk setempat yang menghargai komitmen pihak berkuasa dalam menangani isu komuniti dengan segera.

“Ini bukti bahawa saluran komunikasi dua hala antara rakyat dan pihak berkuasa berfungsi dengan baik. Terima kasih kepada MDK dan semua yang prihatin,” kata seorang peniaga yang dikenali sebagai Ah Chai.

Kumpulan WhatsApp N.41 Liawan turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM); pegawai Pejabat Daerah dan Pejabat UPPM Liawan; Ahli Majlis Daerah; Ketua Masyarakat Cina (KMC); pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Perkhidmatan Pembetungan bahagian Keningau serta wakil-wakil masyarakat dan peniaga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Keningau, Bong Jang Jiann menyifatkan tindakan itu sebagai contoh terbaik kerjasama bersepadu antara pemimpin, agensi dan rakyat dalam menyelesaikan isu setempat.

“Inisiatif seperti ini mencerminkan kepimpinan Datuk Annuar Ayub Aman yang cakna, sentiasa mendengar dan segera bertindak demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.-pr/BNN