KENINGAU: Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Pekan Keningau akan menganjurkan Program Derma Darah dan Kesihatan pada Ahad, 10 Ogos ini, bermula jam 8.00 pagi di Dewan Gereja SDA dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Keningau.

Menurut penganjur, Puan Sandy Pelima, program ini terbuka kepada orang ramai yang sihat tubuh badan, dengan mesej utama: “Satu beg darah mampu selamatkan tiga nyawa.”

Selain derma darah, acara itu turut menawarkan saringan kesihatan percuma, ceramah awam serta pertandingan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak, menjadikannya aktiviti mesra keluarga.

“Darah yang anda dermakan hari ini mungkin jadi penyelamat kepada insan tidak dikenali esok. Marilah kita membudayakan semangat memberi,” katanya.

Pihak penganjur turut menegaskan keperluan mendesak bekalan darah, khususnya ketika musim perayaan dan kecemasan, serta memberi jaminan bahawa sesi derma darah dikendalikan oleh petugas bertauliah mengikut prosedur keselamatan kesihatan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 012-8727377 atau 012-5705167. – pr/BNN