KENINGAU: Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman dalam memperkasa beliawanis terus dizahirkan menerusi penyaluran dana khas bagi menjayakan Pertandingan Bola Tampar Tertutup DUN N.41 Liawan 2025.
Sumbangan disampaikan oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat UPPM Liawan, Heldahwati Juhasin kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Noorhayati Faizura Juspin dalam satu majlis ringkas di Pejabat UPPM Liawan.
Pertandingan yang dijadual berlangsung bulan ini dijangka menghimpunkan pasukan dari seluruh DUN Liawan dan menjadi platform membina semangat berpasukan serta kepimpinan dalam kalangan wanita muda.
Menurut Noorhayati, dana itu akan digunakan bagi penyediaan kelengkapan sukan, logistik dan pengurusan acara.
“Sumbangan ini bukan sahaja membolehkan kami menganjurkan pertandingan, tetapi juga membuktikan bahawa pemimpin kami prihatin dan menyokong potensi wanita muda,” katanya.
Langkah ini mencerminkan pendekatan kepimpinan Annuar yang berfokus kepada tindakan nyata dan pembangunan belia luar bandar.





