KENINGAU: Impian dua anak muda dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia pendidikan mendapat suntikan semangat apabila menerima sumbangan pendidikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Penerima sumbangan itu ialah Mohd Shaqwan Shazriwan Abdul Mahmud, yang akan mengikuti Program Pra Perkhidmatan Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan di ILKKM Kota Kinabalu, serta Nursyswina Aridy, yang diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengikuti Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI).

Sumbangan disampaikan oleh Pembantu Operasi Pejabat UPPM Liawan, Mohamad Raihan Jinode dalam dua majlis berasingan di Pejabat UPPM Liawan, sebagai simbol keprihatinan wakil rakyat terhadap usaha gigih anak muda luar bandar mengejar cita-cita.
Datuk Annuar dalam kenyataan berkata, bantuan tersebut bukan semata-mata berbentuk kewangan, tetapi satu bentuk dorongan moral dan pengiktirafan kepada semangat serta potensi pelajar luar bandar.
“Kita bantu bukan kerana mereka minta, tetapi kerana mereka layak dan wajar diberi peluang. Anak kampung yang berani bermimpi tidak harus dibiarkan berjuang sendirian,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan adalah asas penting dalam membina masa depan yang lebih baik, justeru menjadi antara fokus utama perjuangannya di peringkat akar umbi.
Shaqwan menyimpan cita-cita menjadi petugas barisan hadapan untuk membantu masyarakat luar bandar, manakala Nursyswina berhasrat kembali ke kampung sebagai pendidik demi mencipta perubahan melalui bilik darjah.
Bagi keluarga kedua-dua pelajar, bantuan itu dianggap sebagai bukti bahawa mereka tidak dipinggirkan dan masih ada pemimpin yang mendengar serta menyokong perjuangan anak desa.-pr/BNN





