KENINGAU: Pertandingan Melastik Tertutup N.40 Bingkor 2025 anjuran Bingkorian Lastik Club (BLC) dijangka menjadi tumpuan peminat sukan tradisi tempatan apabila berlangsung di Dewan Aki Tingadon Pantayan, di sini, bermula hari ini.

Acara yang hanya terbuka kepada peserta dari kawasan Bingkor itu menawarkan hadiah wang tunai, piala dan barangan bernilai ratusan ringgit dengan yuran penyertaan RM30. Johan bakal membawa pulang RM800 berserta piala, naib johan RM400 dan piala, tempat ketiga RM200 dan piala, manakala tempat keempat menerima RM150 dan piala.

Bagi hadiah sagu hati, peserta di tempat kelima hingga ke-10 akan menerima RM100 beserta piala, tempat ke-11 hingga ke-30 membawa pulang beras 10 kilogram, manakala tempat ke-31 hingga ke-70 menerima beras lima kilogram.

Format pertandingan melibatkan tiga peringkat iaitu pusingan pertama dengan 30 pin untuk semua peserta, pusingan kedua dengan 20 pin bagi 70 peserta teratas, dan pusingan akhir melibatkan 10 peserta terbaik yang akan mengutip 20 pin. Penentuan juara akan dibuat secara ‘sudden death’ melalui 10 pin terakhir.

Pengurus BLC, Royzal Pitrus, berkata kejohanan itu mendapat sokongan padu penaja utama, Dato’ Ishak Ayub Aman, yang konsisten menyokong usaha memartabatkan permainan melastik di Sabah.

“Acara ini bukan sekadar menguji kemahiran peserta, tetapi juga menjadi platform mengasah bakat pelestik muda serta memupuk semangat persaingan sihat antara generasi muda dan veteran di Bingkor,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, Ishak yang juga Presiden Bingkorian Soccer Club (BDC) sebelum ini turut menyumbang kepada penganjuran pertandingan melastik terbuka di Keningau, membuktikan komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan tradisi itu.

Penganjur yakin penganjuran ini akan mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat, di samping memastikan permainan melastik terus diwarisi sebagai sebahagian identiti budaya masyarakat Sabah.

Dato’ Ishak dijangka hadir memeriahkan acara itu, sekali gus beramah mesra dan ‘berkupi-kupi’ bersama peserta serta orang ramai — sesuatu yang sudah sinonim dengan personaliti beliau yang mesra rakyat, khususnya dalam kalangan penggiat bola sepak daerah ini.-pr/BNN