KENINGAU: Ribuan warga Keningau berhimpun di Padang Kompleks Sukan Keningau semalam dalam suasana hiba bagi menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Binti Mahathir, meskipun hujan renyai-renyai tidak henti membasahi perkarangan padang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, turut bersama rakyat menghadiri perhimpunan aman itu sebagai tanda solidariti, sekali gus mencerminkan sokongan terhadap suara hati orang ramai.
Annuar ketika ditemui menegaskan, himpunan tersebut bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya manifestasi kesedaran dan penegasan rakyat agar keadilan ditegakkan.
“Perhimpunan ini bukan sekadar suara, tetapi jeritan hati demi Allahyarhamah Zara Qairina. Kita tidak mahu lagi ada anak yang menjadi mangsa kezaliman. Keadilan mesti ditegakkan,” katanya.
Kehadiran Annuar yang duduk bersama orang ramai di padang, tanpa mengira kedudukan atau perbezaan politik, mengundang reaksi positif warganet.
Antara komen yang tular di media sosial antaranya berbunyi:
“Terima kasih Datuk, sangat berjiwa prihatin.”
“Terbaik hadir mengetepikan pangkat dan politik. Inilah contoh pemimpin berjiwa rakyat.”
“So humble — semua merasakan kemesraan bila Datuk bersama hadirin, walaupun hujan.”
Perhimpunan yang berlangsung penuh emosi itu jelas membawa mesej bahawa suara rakyat tidak boleh dipandang ringan.
Tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina membuka mata banyak pihak mengenai keperluan mendesak untuk menegakkan keadilan.
Walaupun hujan membasahi padang, ia seolah-olah menjadi simbolik bahawa perjuangan menuntut kebenaran bukanlah retorik, sebaliknya satu ikatan nurani yang menyatukan pemimpin dan rakyat.
Daripada padang yang basah itu, terbit satu pesan yang lantang — keadilan untuk Zara Qairina adalah juga keadilan buat setiap anak di bumi ini.-pr/BNN





