TENOM: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) mengajak masyarakat etnik Murut, Lundayeh serta etnik lain yang bernaung di bawah perlembagaannya agar terus bersatu dan kekal bersama persatuan itu, meskipun nama etnik berkenaan tidak disebut secara khusus dalam nama KDCA.

Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun, berkata cabaran utama persatuan itu ketika ini ialah memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai maksud sebenar penubuhan KDCA yang telah jelas dipersetujui sejak Isu ini pernah diperjelaskan melalui konvensyen yang diadakan sebelum ini. Jadi, tidak perlu lagi diperdebatkan, sebaliknya kita harus bergerak ke hadapan.

 

Suman (tiga dari kiri), Stanis (empat dari kiri) bergambar bersama dengan Komuniti KDCA sesi 2025-2028 dan semua yang hadir dalam majlis itu.

“Kefahaman mengenai etnik, budaya dan bahasa juga perlu bermula dari rumah supaya generasi muda kita mempunyai kesedaran dan bergerak pada landasan yang betul,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan 15 Watikah Pelantikan Komuniti KDCA Daerah Tenom di Perkasa Hotel, semalam.

Suman menegaskan, sejak ditubuhkan 60 tahun lalu, KDCA berperanan sebagai wadah penyatuan masyarakat tempatan di Sabah.

“Walaupun kita datang daripada etnik berbeza, hakikatnya kita adalah satu rumpun. KDCA diwujudkan sebagai payung penyatuan selepas Sabah menyertai Malaysia, jika tidak mungkin kita akan tercerai-berai.

“Penting bagi kita memelihara hak dan kebudayaan bersama melalui landasan perlembagaan KDCA yang telah dipersetujui,” katanya.

Beliau menegaskan, KDCA tidak terlibat dalam politik, sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan supaya tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

“Lebih baik kita menubuhkan lebih banyak cawangan KDCA di pedalaman berbanding menubuhkan persatuan baharu mengikut etnik masing-masing. KDCA adalah platform terbaik untuk mengukuhkan jaringan, termasuk dalam kalangan ahli perniagaan dan korporat yang berpengalaman luas.

“Selain itu, KDCA turut memiliki Women Council dengan keanggotaan dari seluruh daerah yang menjadi ruang baik bagi pemasaran dan kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KDCA memberi tumpuan kepada pemuliharaan bahasa etnik agar terus diajar di sekolah supaya generasi muda mengenali warisan budaya sejak kecil.

Katanya, masyarakat Murut dan Lundayeh tidak akan kehilangan identiti budaya jika kekal bersama KDCA, malah identiti itu akan lebih terpelihara di bawah payung persatuan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras KDCA Daerah Tenom, Stanis Buandi, merakamkan penghargaan kepada Suman kerana menyempurnakan majlis berkenaan yang turut menyaksikan penyerahan borang permohonan daripada sembilan cawangan penaja.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi KDCA Daerah Tenom, Simon Mamat; Ahli Majlis Anak Negeri, Datuk Lucas Umbul; Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri, Celestina Ubing serta wakil komuniti daerah berkenaan.-pr/BNN