KENINGAU: Impian lebih empat dekad penduduk Kampung Menggitom Baru untuk memiliki sebuah dewan bagi menjalankan pelbagai aktiviti akhirnya menjadi kenyataan apabila kemudahan berkenaan siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi semalam.

Majlis penyerahan projek itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Dewan Terbuka Kg Menggitom

Lebih 400 penduduk kampung berkenaan bakal menikmati manfaat daripada kemudahan baharu itu yang dijangka menjadi pusat aktiviti komuniti termasuk mesyuarat, program belia, kegiatan kebudayaan dan pelbagai majlis rasmi.

Suasana majlis turut diserikan dengan kegembiraan penduduk yang menyambut penuh syukur kerana kemudahan itu amat dinanti-nantikan sejak sekian lama.

Menurut Rafie, pembinaan dewan terbuka itu mencerminkan keprihatinan wakil rakyat terhadap kesejahteraan penduduk luar bandar melalui penyediaan kemudahan infrastruktur yang memberi keselesaan dan kemudahan jangka panjang.

“Selain dewan terbuka ini, kampung Menggitom Baru juga sudah menerima pelbagai projek pembangunan asas lain yang secara langsung meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.-pr/BNN