SANDAKAN: Kejohanan Golf Terbuka sempena Hari Merdeka ke-68 anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) N.56 Tanjung Papat dengan kerjasama Ezy Kopitiam dan Syarikat SBG telah berlangsung dengan penuh meriah di Sibuga Golf Club, Sandakan pada Sabtu (16 Ogos).
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah. Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Sandakan yang juga Timbalan Ketua Bahagian PBS N56 Tanjung Papat, Nelson Sikin selaku Pengerusi Penganjur kejohanan.
Acara turut diserikan dengan kehadiran Datuk Dr. Christopher Mandut, Ketua Pemuda PBS Pusat; Datuk Dr. Jamili Nais, Setiausaha Tetap Kementerian; serta Johnny Ronggitom dari Majlis Perbandaran Sandakan, di samping ketua-ketua bahagian PBS Zon 5 Sandakan.
Kejohanan kali ini mencatatkan sambutan membanggakan dengan penyertaan lebih 150 orang peserta dan tetamu, termasuk pemain dari luar daerah Sandakan yang hadir khusus untuk memeriahkan acara berprestij ini.
Dalam ucapannya, Nelson berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti, malah membuktikan komitmen PBS untuk terus mendekati rakyat melalui aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Selain hadiah utama kepada pemenang kejohanan, acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah. Sorotan utama malam penutupan adalah apabila seorang peserta bertuah berjaya membawa pulang sebuah motorsikal, sekali gus menambah kemeriahan dan keunikan kejohanan tahun ini.
PBS N.56 Tanjung Papat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, peserta serta sukarelawan yang telah menjayakan kejohanan ini.-pr/BNN





