KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) mengingatkan orang ramai termasuk media dan pengguna media sosial supaya mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan perbicaraan membabitkan kanak-kanak, khususnya dalam prosiding mahkamah berhubung kes membuli mendiang Zara Qairina.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas melarang penyiaran atau perkongsian maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak terbabit dalam prosiding.
Katanya, larangan itu meliputi nama, gambar, alamat, sekolah atau sebarang butiran lain yang berupaya mendedahkan identiti mereka. Sebarang pelanggaran undang-undang ini boleh mengakibatkan hukuman berat.
“Walaupun media arus perdana lazimnya peka terhadap peruntukan undang-undang ini, masih terdapat segelintir orang awam yang atas dasar keprihatinan atau keinginan menuntut keadilan, bertindak menyebarkan maklumat di media sosial.
“Tindakan itu walaupun berniat baik, tetap boleh menjadi kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, lima remaja yang didakwa berhubung kes membuli Zara akan dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak pada Rabu ini seperti diumumkan Peguam Negara. Semua prosiding melibatkan kanak-kanak perlu dijalankan in camera bagi melindungi hak dan masa depan mereka.
“Perlindungan ini bukan bermaksud meremehkan keseriusan pertuduhan, sebaliknya memastikan keadilan dijalankan mengikut undang-undang.
“Proses kehakiman dalam kes Zara, termasuk prosiding inkues yang sedang berlangsung, mesti bebas daripada sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan perjalanan kes,” katanya.
Nazim turut mengakui sentimen masyarakat yang amat tersentuh dengan nasib menimpa Zara, sekali gus mencetuskan gelombang solidariti rakyat Sabah dan Malaysia.
“Api kesedaran dan keberanian rakyat untuk bersuara itu wajar dihormati. Namun, kekuatan yang sama juga perlu ditunjukkan dalam bentuk disiplin dengan menghormati maruah Mahkamah serta kedaulatan undang-undang,” katanya.
SLS turut menggesa semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang, sama ada di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mahupun prosiding inkues, agar keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya tanpa gangguan.-pr/BNN





