PUTRAJAYA: Isu pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak terus diberi perhatian serius apabila sebahagian besar tuntutan kedua-dua negeri itu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2025, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan menjadi medan persiapan menjelang Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak pada 12 September depan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pertemuan itu turut disertai wakil Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Sarawak termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; tiga Timbalan Premier Sarawak – Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian – serta dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Menurut beliau, mesyuarat kali ini membincangkan dua kertas makluman yang dibentangkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Kedua-dua kertas itu akan dibawa untuk dimuktamadkan pada mesyuarat penuh MTPMA63 bulan depan.
“Dalam isu pendidikan, beberapa perkara penting telah dipersetujui termasuk penglibatan kerajaan negeri dalam perancangan projek pembangunan pendidikan, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan serta penyaluran peruntukan untuk program pembangunan profesional.
“Bagi isu yang masih belum dipersetujui, ia akan terus dirunding dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak yang dikoordinasi Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas isu kesihatan pula, Fadillah menegaskan sebahagian besar tuntutan Sabah dan Sarawak juga mendapat lampu hijau.
Antara perkara yang disepakati termasuk peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan, pemberian kuasa autonomi tertentu kepada Pengarah Kesihatan Negeri serta pengukuhan sumber manusia di Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.
“Perkara yang masih tertangguh akan terus dibincangkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Tuntutan lain yang masih berproses pula akan dipantau Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 bersama jawatankuasa kerja kementerian berkaitan,” jelasnya.
Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) ditubuhkan sebagai platform tertinggi bagi memastikan segala perkara termaktub dalam MA63 dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Melalui jawatankuasa teknikal, isu-isu teknikal, perundangan dan pentadbiran dibincangkan secara terperinci sebelum dibawa untuk diputuskan di peringkat majlis penuh yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Mesyuarat MTPMA63 seterusnya dijangka menjadi medan penting untuk memuktamadkan pelbagai langkah pelaksanaan, sekali gus memperkukuh usaha Kerajaan Perpaduan memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak agar hak-hak mereka di bawah MA63 terus dihormati serta dilaksanakan.-pr/BNN





