CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar” yang menyamar sebagai pakar patologi, serta mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarhamah Zara Qairina.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi.

Suspek dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam semalam, hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua (2) individu yang turut bersama dalam sesi ‘TikTok Live’ akaun berkenaan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut.

MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, khususnya yang melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.

Kes ini disiasat oleh MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 588, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes ini juga turut disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan.-pr/BNN