KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan orang awam dan pihak media supaya menghormati hak lima kanak-kanak yang bakal berdepan pertuduhan berhubung kes membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM menegaskan, semua pihak perlu mematuhi peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk memastikan identiti kanak-kanak terbabit dilindungi sepenuhnya.
“Nama, gambar, sekolah atau apa sahaja maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan. Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika mana-mana pihak melanggar peruntukan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut SUHAKAM, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga merupakan prosiding tertutup mengikut Seksyen 12 Akta 611, yang hanya membenarkan kehadiran pihak berkepentingan secara langsung.
“Privasi kanak-kanak mesti dihormati. Fokus utama ialah memastikan mereka tidak berdepan stigma yang boleh menjejaskan kehidupan dan masa depan mereka,” katanya.
SUHAKAM turut menggesa orang awam supaya tidak mengaitkan kes itu dengan perbuatan buli sama ada di sekolah mahupun di media sosial.
Dalam masa sama, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok diminta memperkukuh dasar dalaman serta piawaian komuniti masing-masing dengan memadam kandungan yang berpotensi mendedahkan identiti kanak-kanak.
“Bergantung semata-mata kepada aduan untuk menurunkan kandungan mungkin menyebabkan maklumat sensitif tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan perlindungan undang-undang. Kegagalan bertindak segera boleh dianggap bersubahat,” jelas kenyataan itu.
SUHAKAM menegaskan bahawa prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas dalam proses keadilan, tanpa sebarang kompromi terhadap perlindungan mereka.-pr/BNN





