KENINGAU: Seramai 44 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dari seluruh daerah ini berjaya menamatkan Kursus Asas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Siri 1/2025, yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Kampung Bingkor Lama, bermula 15 hingga 17 Ogos lalu.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh Pegawai RELA Daerah Keningau, Penguasa RELA Melvin Mark Devies, bersama Penolong Penguasa RELA Roland Susanto Luis (Unit Latihan) dan Penolong Penguasa RELA Fred Hazron Mosikul (Unit Operasi).
Penyelaras kursus ialah Pegawai Sukarelawan I, Gilbert Andrew Sapawan, yang juga Ketua Perhubungan RELA Kawasan Bingkor.
Latihan kawad pula diketuai oleh JL Herman Natar Rumot dengan bantuan JL Alben Muda dan JL Louis David.
Sepanjang program, peserta diberi pendedahan menyeluruh mengenai peranan RELA, termasuk pengenalan jabatan, tatacara pemakaian seragam, serta tatacara penugasan.
Modul turut merangkumi aspek perundangan di bawah Akta RELA, pertolongan cemas daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau, kawalan trafik dan kawalan orang ramai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Keningau, selain ceramah berkaitan kuasa orang awam dan hak mempertahankan diri.
Peserta juga mengikuti sesi kawalan premis dikendalikan pegawai CGSO serta ceramah integriti daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Keningau.
Menurut penganjur, penganjuran kursus itu bukan sahaja memperkukuh disiplin dan semangat sukarelawan dalam kalangan peserta, malah menjadi asas penting dalam melahirkan barisan RELA yang lebih bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Dengan kejayaan siri pertama ini, RELA Keningau optimis untuk meneruskan siri latihan seterusnya dalam usaha memperluas jaringan sukarelawan serta memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat setempat.-pr/BNN





