KENINGAU: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor kini menikmati kemudahan sukan lebih baik apabila lima gelanggang sepak takraw baharu diserahkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), baru-baru ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Keningau (MDK), Rafie Datuk Robert, yang mewakili ADUN Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin.
Projek pembinaan gelanggang berkenaan melibatkan lokasi di Kampung Takad Selatan, Kampung Binaong, Kampung Buang Sayang, Kampung Bunsit serta Taman Awam Bandukan, hasil sumbangan Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
Penyerahan gelanggang diterima oleh Pegawai Eksekutif MDK, Mohd Fawzi Abdul Kadir bagi pihak pengerusi JKKK masing-masing.
Rafie berkata, kemudahan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, terutama belia, selain dipelihara demi kegunaan jangka panjang.
“Kemudahan sukan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mampu menyatukan komuniti melalui aktiviti riadah dan pertandingan peringkat kampung,” katanya.
Pengerusi-pengerusi JKKK terlibat turut menzahirkan penghargaan kepada Robert atas usaha beliau memastikan projek ini dapat direalisasikan untuk manfaat penduduk setempat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan, Mohd Azri Jaini Jeffry.-pr/BNN





