KENINGAU: Senyuman, gelak tawa dan perbualan mesra mewarnai program santai bersama komuniti Jawa di Kampung Bulu Silou semalam apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, turun padang bertemu penduduk setempat.
Kehadiran Annuar tidak sekadar simbolik, sebaliknya memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan isu harian, cadangan pembangunan kampung serta pandangan mereka mengenai isu tempatan dan global. Pendekatan itu menjadikan sesi berkenaan berlangsung dalam suasana terbuka tanpa terikat protokol rasmi.
“Program sebegini membuat kami rasa suara kami benar-benar didengar. Beliau bukan sahaja hadir, tetapi turut memahami denyut nadi kampung,” kata Mas Bowo Tair, penduduk Kampung Bulu Silou, yang menghargai keakraban ditunjukkan wakil rakyat itu.
Annuar yang konsisten dengan pendekatan “Liawan Terurus, Liawan Maju” menekankan bahawa pembangunan fizikal perlu berjalan seiring dengan kesejahteraan sosial rakyat.
Katanya, setiap cadangan dan rungutan yang dikemukakan akan diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat.
Program santai itu sekali gus memperkukuh keyakinan penduduk bahawa wakil rakyat mereka bukan sahaja menjalankan tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga turun ke lapangan secara konsisten untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat.
Bagi komuniti Jawa di Kampung Bulu Silou, kehadiran Annuar menjadi simbol kepimpinan berjiwa rakyat, dekat dengan masyarakat dan berasaskan tindakan nyata, sekali gus meninggalkan kesan mendalam terhadap usaha membina semangat kebersamaan memajukan kampung dan daerah.-pr/BNN





