KENINGAU: Ratusan pengguna jalan raya yang bergantung kepada laluan alternatif di Kampung Samalang menarik nafas lega apabila projek pembinaan Jambatan Sungai Liawan yang tertangguh sekian lama kini bersambung semula.
Tanda perkembangan positif itu jelas kelihatan apabila bahan binaan utama, termasuk tiga trip lori UBG1500 dan 26 keping dinding parapet Dura, tiba di tapak projek kelmarin, sekali gus memberi harapan baharu kepada masyarakat.
Jambatan berkenaan menggantikan struktur lama jenis low-level crossing yang sebelum ini sering menimbulkan kesulitan, terutama apabila dinaiki air setiap kali hujan lebat. Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan perjalanan harian pelajar, kakitangan kerajaan dan pekerja sektor swasta, malah menyekat kelancaran urusan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang lantang membangkitkan isu kelewatan projek itu di Dewan Undangan Negeri, berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan kontraktor dan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Keningau bagi memastikan kerja pembinaan berjalan lancar mengikut jadual.
“Jambatan ini adalah nadi perhubungan masyarakat. Saya mahu ia disiapkan segera kerana kesukaran pengguna setiap kali musim hujan perlu ditamatkan,” katanya.
Projek itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang meninjau sendiri tapak berkenaan baru-baru ini. Kehadiran beliau memberi keyakinan tambahan kepada penduduk bahawa kerajaan komited menyiapkan infrastruktur penting itu secepat mungkin.
Bagi penduduk, keprihatinan pemimpin serta perkembangan terbaru itu menjadi sinar baharu selepas sekian lama berdepan kesulitan.
“Kami sangat lega dan bersyukur. Kehadiran Datuk Annuar yang sentiasa dekat dengan rakyat memberi keyakinan bahawa keperluan harian kami diambil peduli,” kata seorang penduduk, Victor Micheal dari Taman Perumahan Muhibbah.
Dengan pemantauan rapi, jadual kerja teratur serta sokongan penuh pihak berkuasa, masyarakat optimis jambatan baharu Sungai Liawan dapat disiapkan dalam masa terdekat, sekali gus meredakan kesesakan dan menjamin kelancaran perjalanan harian komuniti.-pr/BNN





