KENINGAU: “Nyawa sudah pun terkorban, kami tidak sanggup lagi melihat tragedi sama berulang.”

Itu luahan penuh harapan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sandapak Bingkor, Rayner Adrian Eswar Munting, yang mewakili penduduk mendesak pihak berwajib segera meluluskan pemasangan bonggol jalan dan lampu jalan berkuasa solar di kawasan itu.

Menurut Rayner, laluan utama berhampiran gelanggang futsal kampung tersebut sering menjadi tumpuan kenderaan, khususnya pada hujung minggu apabila ramai pengunjung datang dari arah Taman Perkelahan Bandukan.

Keadaan jalan yang lurus pula mendorong pemandu memecut laju, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Seorang kanak-kanak pernah kehilangan nyawa di jalan ini selepas dirempuh kenderaan dipandu laju. Itu tragedi yang tidak boleh dilupakan. Bonggol dan papan tanda had laju mesti dipasang segera bagi melindungi kanak-kanak, pejalan kaki serta pengguna jalan raya lain,” tegasnya.

Beliau berkata, permohonan rasmi untuk pemasangan bonggol telah dikemukakan sejak beberapa tahun lalu namun masih belum mendapat kelulusan.

Katanya, isu keselamatan kampung tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa penduduk.

Selain bonggol, Rayner menegaskan pemasangan lampu jalan solar juga amat penting untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk, terutama pada waktu malam. Penggunaan tenaga mesra alam itu juga lebih menjimatkan kos operasi.

“Ini bukan soal kemudahan semata-mata, tetapi soal nyawa. Bonggol jalan dan lampu solar adalah langkah pencegahan proaktif untuk mengurangkan risiko kemalangan serta memberi perlindungan kepada seluruh penduduk,” ujarnya.

Rayner menambah, penduduk berharap pihak berkuasa segera turun padang bagi menilai keadaan sebenar dan mengambil tindakan segera agar tragedi lalu tidak berulang lagi.-pr/BNN