KENINGAU: Wiramuda N.41 Liawan bersama komuniti setempat tampil menjayakan Program Komuniti Hijau anjuran bersama Rakan Lestari, Majlis Daerah Keningau (MDK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKDB) Utara dan Selatan Liawan yang berlangsung selama dua hari di Taman Pamalan dan Taman Villa Palma, baru-baru ini.

Program berkenaan bukan sahaja menyemai kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar, malah menjadi platform mengeratkan hubungan kejiranan melalui pelbagai aktiviti, termasuk penanaman pokok, pembersihan kawasan serta pendidikan komuniti hijau.

Ketua Wiramuda Liawan, Micheal Tambi, berkata penglibatan belia dalam program itu memberi nilai tambah kerana ia mendidik mereka mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran selain menanam rasa cinta terhadap alam sekitar.

“Selain meningkatkan kesedaran, program ini juga mengeratkan silaturahim antara belia dan masyarakat setempat. Semangat kerjasama yang ditonjolkan jelas menunjukkan belia bersedia menjadi penggerak utama dalam usaha memelihara alam sekitar,” katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong; Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau merangkap Presiden Persatuan Hakka Keningau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Chong Sabah Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming; petugas MDK; pemimpin belia setempat serta penduduk taman perumahan terbabit.

Penganjuran program itu sekali gus mencerminkan pendekatan kepimpinan berasaskan tindakan yang menyatukan komuniti, khususnya golongan belia, dalam usaha menjaga kelestarian persekitaran di N.41 Liawan.-pr/BNN