KENINGAU: Seramai 25 belia daerah ini menerima sijil tamat Kursus Homestay/Rumah Penginapan selepas mengikuti latihan intensif selama tiga minggu bermula 1 hingga 21 Ogos lalu di Taman Bandukan Riverside Resort, di sini.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Pejabat Kesihatan Keningau serta Kolej Geomatika Keningau itu memberi fokus kepada peningkatan kemahiran belia berusia 18 hingga 40 tahun dalam bidang pengurusan homestay dan penginapan pelancongan.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Keningau merangkap Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Encik Rafie Robert, yang menegaskan kepentingan pendedahan sedemikian dalam melahirkan belia berdaya saing serta mampu memanfaatkan potensi sektor pelancongan tempatan.

“Kursus ini bukan sahaja memberi kemahiran teknikal dalam pengurusan homestay, tetapi juga membina keyakinan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Dengan ilmu dan pengalaman diperoleh, mereka mampu menjadi penggerak utama pembangunan pelancongan serta ekonomi setempat,” katanya.

Rafie berkata, program itu merupakan platform penting dalam memperkasakan belia dengan kemahiran praktikal, selaras dengan perkembangan industri pelancongan, sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri melonjakkan pertumbuhan ekonomi daerah Keningau.

Turut hadir, Pembantu Tadbir Operasi Unit Kepimpinan dan Keusahawanan KBSS, Encik Abdul Syafi Yunos serta Penolong Pegawai Daerah Keningau, Encik Mohd Azri Jaini Jeffrey.-pr/BNN