KENINGAU: Program Gotong-royong Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Banjar, yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, hari ini berjaya menghimpunkan guru, ibu bapa serta komuniti setempat dalam usaha menceriakan persekitaran sekolah dan memperkukuh semangat perpaduan Madani.

Annuar berkata, amalan gotong-royong bukan sahaja bertujuan mengindahkan kawasan sekolah, malah menghidupkan nilai murni yang menjadi teras masyarakat sejak dahulu.

“Sekolah bukan sekadar tempat belajar, tetapi pusat pembinaan sahsiah, disiplin dan masa depan generasi muda. Gotong-royong menyemai budaya hormat-menghormati, ringan tulang dan saling membantu yang perlu terus diperkasakan,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memberi sokongan kepada usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran dan kebajikan murid.

“Insya-Allah, saya akan terus membawa suara sekolah dan masyarakat ke peringkat lebih tinggi agar persekitaran pembelajaran sentiasa kondusif dan selesa,” katanya.

Menurutnya, kejayaan SK Banjar melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah seimbang dari segi sahsiah dan disiplin bergantung kepada kerjasama erat antara guru, ibu bapa serta komuniti setempat.

Program Gotong-royong Madani itu bermula sejak awal pagi dengan penglibatan warga sekolah dan penduduk setempat yang berganding bahu membersihkan kawasan sekolah demi keselesaan murid.-pr/BNN