KENINGAU: Usaha meningkatkan produktiviti pertanian dan membuka peluang ekonomi terus diperkasa apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, hari ini menyerahkan pelbagai peralatan pertanian kepada penduduk dan belia di Kampung Purakagis.
Annuar berkata, bantuan itu bukan sekadar sumbangan biasa, sebaliknya sebahagian daripada strategi kerajaan negeri bagi merangsang pertanian sebagai sektor berdaya maju serta menjana pendapatan baharu untuk rakyat.
“Syukur Alhamdulillah, pertanian kini bukan hanya sekadar sumber makanan, tetapi penyumbang besar kepada ekonomi negara. Di peringkat tempatan, ia juga menjadi punca rezeki yang dapat mengangkat taraf hidup keluarga,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan itu.
Menurut beliau, komitmen untuk memperkukuh sektor pertanian akan terus diperkasakan melalui pelbagai program pembangunan belia tani, latihan kemahiran serta penyediaan bantuan bersasar kepada pengusaha kecil.
Sementara itu, Pemaju Mukim Luagan, Ruddy Gijau, berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada beberapa program yang giat dilaksanakan oleh Annuar di DUN Liawan bagi menyokong masyarakat luar bandar.
“Bantuan ini memberi kesan besar kerana ia memudahkan penduduk meningkatkan hasil pertanian mereka. Ia juga mencerminkan keprihatinan wakil rakyat yang turun padang mendengar dan memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Seorang penerima yang ditemui turut melahirkan rasa syukur dan gembira kerana sumbangan itu dianggap sebagai sokongan nyata kepada golongan belia tani yang mahu menjadikan pertanian sebagai kerjaya masa depan.-pr/BNN





