RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar K9 Ranau berjaya melaksanakan SciTech4u – STEM Camp MOSTI 2025 pada 22 hingga 23 Ogos lalu, melibatkan penyertaan seramai 125 murid daripada sekolah berkenaan serta lima sekolah sekitar Zon Garas, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS), U-Science UMS serta PPD Ranau itu bertujuan memperkasa generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran menyeronokkan, inovatif dan praktikal.
Daripada jumlah penyertaan, 100 murid terdiri daripada pelajar SK Tibabar K9 manakala 25 lagi dari SK Timbua, SK Togop Darat, SK Pinawantai, SK Naradan dan SK Tarawas.
Sepanjang dua hari, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pengaturcaraan menggunakan mBlock, pengenalan mikrobotik, penerokaan automasi melalui Reka Edukit, bengkel teknologi, cabaran berkumpulan, sesi motivasi dan riadah. Program disusun oleh penyelaras STEM SK Tibabar K9, Cikgu Kelvin Dale Yubidi bersama U-Science UMS yang diterajui Tuan Haji Zawawi Datuk Haji Tiyunin.
Pelaksanaan program turut dibantu fasilitator dari FKI UMS terdiri daripada dua pensyarah – Prof Madya Dr Azali bin Saudi selaku ketua pasukan dan Dr Suaini binti Sura – serta sembilan pelajar universiti yang membimbing bengkel.
Guru Besar SK Tibabar K9, Encik Jasni bin Halim dalam ucapan penutup menyifatkan kerjasama strategik bersama UMS membawa impak positif, khususnya selepas sekolah itu dinobatkan johan keseluruhan peringkat daerah Karnival STEM Generasi Madani, selain kejayaan di peringkat negeri dalam beberapa acara termasuk National Robotics Competition (NRC) dan My Robotic Challenge (MYRC).
Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran wakil MOSTI, Encik Ahmad Fadhil bin Mohd Salleh dan Encik Fadzin Nazirin bin Mihat dari Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI. MOSTI dalam ucapan mereka menzahirkan penghargaan atas usaha padu semua pihak menjayakan program berteraskan Teras 5, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Ucapan perasmian penutupan disampaikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Tuan Maarif Mohamad yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Puan Barizah binti Mohd Kahar. Beliau merakamkan tahniah kepada semua pihak dan berharap usaha memperkukuh pendidikan STEM di kawasan luar bandar terus digiatkan.-pr/BNN





