KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N.18 Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong, yang didakwanya cuba mengelirukan rakyat dengan memainkan isu ekonomi Sabah secara selektif.

Menurutnya, kenyataan Justin yang menyalahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gagal mengurus ekonomi negeri adalah tidak berasas kerana fakta sebenar menunjukkan prestasi terburuk berlaku ketika era pentadbiran Warisan antara 2018 hingga 2020.

“Ketika Sabah ditadbir Warisan, ekonomi negeri jatuh menjunam daripada RM85.6 bilion (2019) kepada RM77.8 bilion (2020) – merosot hampir RM8 bilion hanya dalam tempoh setahun.

“Itu adalah kemerosotan -9.1 peratus, pertumbuhan negatif yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negeri. Inilah ‘rekod cemerlang’ Warisan yang cuba mereka sembunyikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Roland menegaskan, selepas GRS mengambil alih pentadbiran pada September 2020, ekonomi Sabah beransur pulih dengan catatan pertumbuhan positif berterusan sehingga 2024.

“Dari -9.1 peratus pada 2020, ekonomi melonjak kepada +1.5 peratus (2021), diikuti +3.9 peratus (2022), +1.3 peratus (2023) dan +1.1 peratus (2024). Hari ini, saiz ekonomi kita kembali meningkat kepada RM84.3 bilion. Ini bukti pemulihan konsisten, bukan merudum seperti yang digambarkan pembangkang,” jelasnya.

Mengulas dakwaan bahawa Sabah jatuh daripada senarai enam negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, Dr Roland berkata perbezaannya hanya sekitar 0.1 hingga 0.2 peratus berbanding negeri seperti Perak.

“Ekonomi Sabah tetap berkembang positif walaupun sedang melalui fasa penyusunan semula struktur di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Adalah normal pertumbuhan lebih perlahan dalam tempoh peralihan kerana kita sedang membina asas ekonomi lebih kukuh dan tahan terhadap turun naik global,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa prestasi Warisan sudah merosot sebelum pandemik Covid-19, apabila pertumbuhan Sabah jatuh mendadak daripada 8.1 peratus (2017) kepada 1.5 peratus (2018), dan seterusnya hanya 0.7 peratus (2019).

“Ini membuktikan Warisan gagal mengurus ekonomi walaupun ketika belum dilanda pandemik,” katanya.

Dr Roland berkata, GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berjaya mengubah asas ekonomi Sabah melalui pelbagai inisiatif termasuk pendiversifikasian sumber hasil negeri.

“Buktinya, hasil negeri yang hanya RM4.2 bilion pada 2019 ketika Warisan, melonjak kepada hampir RM7 bilion pada 2022 dan 2023 – rekod tertinggi dalam sejarah Sabah.

Simpanan rizab kewangan negeri juga meningkat daripada hanya RM3.2 bilion (2019) kepada RM8.6 bilion (2024), kenaikan lebih 160 peratus atau 2.5 kali ganda. Jika ini bukan kejayaan, apa lagi definisinya?” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat Sabah tidak boleh terpedaya dengan “permainan angka” pembangkang yang hanya menonjolkan sisi negatif sambil menutup mata terhadap fakta penting bahawa sejak 2021 hingga 2024, ekonomi Sabah sentiasa positif dan kewangan negeri semakin kukuh.-pr/BNN