KENINGAU: Harapan dan senyuman kembali terukir pada wajah seorang warga emas, Nyambong Anak Munau, selepas menerima sumbangan kerusi roda daripada Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Keningau.
Nyambong yang tinggal di Kampung Masak sebelum ini berdepan kesukaran bergerak, sekali gus menyukarkan urusan hariannya di rumah. Bantuan berkenaan dianggap sebagai sinar baharu dalam meringankan beban kehidupannya.
Majlis penyerahan yang berlangsung kelmarin disempurnakan oleh Penolong Pengarah JPKA Keningau, Puan Amirah Suraip bersama Pemaju Mukim Patikang, Zailani Abdullah.
Menurut UPPM Liawan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan golongan memerlukan sentiasa diberi perhatian, khususnya warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Bantuan seperti ini mungkin kecil nilainya, tetapi besar maknanya kepada penerima. Ia bukan sahaja memudahkan mobiliti tetapi turut meningkatkan kualiti hidup serta memberikan semangat baharu untuk terus menjalani kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.
Pendekatan turun padang melalui program kebajikan seperti ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi, selain mengukuhkan jaringan sokongan sosial masyarakat di kawasan luar bandar.-pr/BNN





