KENINGAU: Sentuhan keprihatinan seorang pemimpin terserlah apabila rakyat di kampung dan generasi muda di menara gading menerima perhatian serentak – yang di desa dibela kemudahannya, manakala mahasiswa pula diperkasa cita-citanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, melalui Pembantu Operasi, Mohamad Raihan Jinode, menyampaikan dua bentuk sumbangan berasingan yang menyokong pembangunan komuniti kampung serta memperkukuh agenda pendidikan tinggi.

Di Kampung Bakiau, bantuan disalurkan kepada Ramlah Ratno bagi kerja pemasangan culvert secara gotong-royong yang bertujuan meningkatkan kemudahan asas kampung serta melancarkan sistem perparitan.

Usaha ini bukan sahaja memperbaiki infrastruktur, malah mencerminkan semangat kebersamaan antara rakyat dan wakil mereka dalam membina kampung yang lebih terurus.

Dalam masa yang sama, Annuar turut menyokong Persatuan Teknologi Maklum (PERTEKMA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), bagi menjayakan program “Melangkau Sempadan Ilmu dan Komuniti” yang akan berlangsung pada 24 hingga 28 November 2025.

Sumbangan itu diserahkan kepada Pengarah Program, Will Pan Chen Sheng, bagi membolehkan 30 pelajar dan dua pensyarah terbabit menjalankan program berimpak tinggi bersama komuniti luar kampus.

Program berkenaan memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam aspek pengurusan organisasi, komunikasi profesional, kepimpinan, perancangan strategik dan kerjasama berpasukan, sekali gus menghubungkan dunia akademik dengan masyarakat.

Menurut Annuar, kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi kerana mencerminkan pembangunan menyeluruh – rakyat mendapat manfaat daripada kemudahan asas, manakala mahasiswa diperkasa dengan ilmu dan pengalaman.

“Kampung yang lebih baik terbina melalui usaha bersama, manakala generasi muda pula akan memimpin masa depan dengan ilmu dan pengalaman. Sumbangan ini adalah tanda sokongan agar kita sama-sama membina Liawan yang lebih terurus dan maju,” katanya.-pr/BNN