KENINGAU: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Apin-Apin Bingkor Berhad terus membuktikan keupayaan pengurusannya apabila mencatat keuntungan bersih sebanyak RM87,905 bagi tahun kewangan 2024, hasil sokongan padu 73 ahli aktif serta pelaksanaan strategi yang berkesan.

Pencapaian itu diumumkan oleh Pengerusi KPSM, Robert Paulus, pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) koperasi yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ketua Pejabat MPOB Keningau, Zainih Bukhari, dan dihadiri Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Keningau, Mohd Joha Jemaron, selain wakil agensi berkaitan.

“Kepercayaan ahli merupakan asas kepada kejayaan ini. Keuntungan hampir RM88 ribu adalah pencapaian membanggakan untuk kita semua,” kata Robert dalam ucapannya.

Kejayaan koperasi itu lebih manis apabila terpilih menerima Skim Pengklusteran Kebun MPOB dengan kemudahan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM700,000 bagi pembelian baja.

Hanya tiga koperasi di Sabah dipilih menerima skim berprestij berkenaan, sekali gus meletakkan KPSM Apin-Apin Bingkor sebagai antara peneraju memperkasa pekebun kecil di negeri ini.

Lebih membanggakan, koperasi berkenaan turut mencipta sejarah apabila muncul pusat timbang sawit pertama di Sabah yang memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Pengiktirafan itu membuktikan komitmen KPSM dalam mengamalkan pertanian mampan serta mematuhi piawaian industri minyak sawit negara.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi, koperasi kini dalam proses membina Pusat Timbang Kedua yang akan memudahkan ahli di luar kawasan menghantar hasil sawit.

Selain itu, sebuah stor baja baharu turut dirancang bagi menjamin bekalan mencukupi dan mengelak gangguan stok pada masa depan.

“Langkah ini akan meningkatkan keberkesanan operasi dan memberi lebih keselesaan kepada ahli,” ujar Robert.

Dalam mesyuarat itu, koperasi turut mengumumkan agihan dividen 10% kepada ahli sebagai penghargaan atas sokongan berterusan.

Selain sesi rasmi, ahli turut disajikan dengan ceramah penanaman semula sawit berusia lebih 25 tahun serta cabutan bertuah dengan hadiah antaranya racun rumpai, mesin rumput dan pelbagai alatan ladang.

MAT kali ini juga menyaksikan pemilihan semula Anggota Lembaga Koperasi (ALK).

Robert Paulus kekal menerajui koperasi sebagai Pengerusi, manakala muka baharu Jude Peter dipilih sebagai ALK. Tiga penyandang, iaitu Daniel Pelangi, Jamil Peter dan mendiang Alex Amik digugurkan, namun Daniel serta Jamil dipilih semula ke jawatan lain dalam barisan kepimpinan baharu.

Menutup ucapannya, Robert merakamkan penghargaan kepada semua ahli atas dedikasi dan sokongan yang diberikan, selain menggesa agar pandangan serta cadangan membina terus disalurkan demi menambah baik mutu perkhidmatan koperasi.

“KPSM Apin-Apin Bingkor yakin mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkasa pekebun kecil sawit di Sabah,” katanya.-pr/BNN