TAWAU:  Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluncurkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah.

PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.

PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan. Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.

HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.

Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

Terdahulu, YB Datuk Fahmi juga meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kg. Kuala Merotai. Menara ini mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.

Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.-pr/BNN