KENINGAU: Prihatin dengan kesulitan penduduk akibat terputus bekalan air sejak seminggu lalu, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, menghulurkan bantuan 150 karton air minuman kepada penduduk Taman Khong Lok, di sini hari ini.
Sumbangan itu diserahkan melalui Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor, Junior Fred, bersama Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Raziddin Robert, serta Pasukan Khas Kecemasan DUN Bingkor yang turun padang mengagihkan bekalan kepada 23 rumah di kawasan terbabit.
Dalam masa sama, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut menghantar lori tangki berisi air terawat bagi kegunaan harian penduduk sementara kerja-kerja pembaikan paip utama yang rosak giat dilaksanakan.
Wakil penduduk, Kapitan Yong Wing On, berkata keprihatinan Robert serta tindakan pantas pihak berkuasa menghantar bekalan air sangat melegakan mereka yang berdepan kesulitan sejak beberapa hari lalu.
“Bantuan ini amat bermanfaat kerana kami benar-benar menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih sejak seminggu lalu. Kami berterima kasih kepada Datuk Robert dan semua pihak yang prihatin,” katanya.-pr/BNN





