KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus menzahirkan komitmen memperkasa belia serta mengangkat martabat sukan tempatan apabila tampil menghulurkan sumbangan kepada beberapa pasukan dan komuniti belia di daerah ini.
Melalui Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Annuar menyampaikan sumbangan kepada dua pasukan bola tampar tempatan iaitu Pasukan Bola Tampar Zon Keningau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bakal menyertai Pertandingan Bola Tampar Pedalaman Atas di Kompleks Sukan Tambunan pada 13 hingga 15 September ini, serta Pasukan Bola Tampar Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Tampar Tertutup sempena Piala Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau 2025.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian, dan masing-masing diterima wakil pasukan, Adrian Ren Jikisol dan Musliah @ Jovita Gidah.
Dalam masa sama, sokongan Annuar turut disalurkan kepada Program Khemah Belia Keusukupan (KBK) Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes, Komuniti Umat Katolik (KUK) Agudon melalui penyampaian sumbangan oleh Pembantu Operasi UPPM Liawan, Mohamad Raihan Jinode. Bantuan itu bagi menyokong penganjuran Mini Bazaar belia KUK Agudon, di mana hasil kutipan akan digunakan menampung kos penyertaan belia ke Program Katedral St Francis Xavier (KSFX) Keningau Youth Fiest 2025.
Pengerusi Belia Gereja Bonda Maria Ratu Lourdes, KUK Agudon, Raidah Mcmichelle Latok, mewakili belia tempatan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan berterusan Annuar yang disifatkan bukan sahaja sebagai sokongan moral, malah pemangkin kepada penglibatan aktif golongan muda dalam kegiatan sosial, kerohanian dan kemasyarakatan.
Bagi kedua-dua pasukan bola tampar berkenaan, sumbangan ADUN Liawan itu dianggap dorongan besar menjelang kejohanan masing-masing selain memperkukuh semangat juang atlet muda daerah ini.
Annuar dalam pesanan khasnya berkata, sokongan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan pasukan atau organisasi, tetapi sebahagian daripada komitmen beliau membina masyarakat sihat, berdisiplin dan bersatu melalui aktiviti sukan dan belia.
“Sukan adalah bahasa perpaduan. Ia menyatukan semangat, membina keyakinan dan melahirkan generasi berdaya saing. Dorongan ini adalah tanda kecil bahawa Liawan sentiasa bersama wira-wira muda kita, baik di gelanggang mahupun dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan, perhatian terhadap belia perlu diberikan tanpa mengira latar belakang kerana mereka adalah generasi pelapis yang akan menentukan masa depan daerah dan negeri.-pr/BNN





