KENINGAU : Jika sebelum ini aduan rakyat sering tersekat di meja birokrasi, kini di Liawan ia bergerak sepantas mesej dihantar melalui WhatsApp. Inisiatif yang digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman atau lebih dikenali sebagai Datuk AAA @ Banand, telah membuka lembaran baharu komunikasi dua hala antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan.
Melalui kumpulan rasmi WhatsApp “A3 N41 Liawan, GFA PM”, setiap masalah rakyat – daripada jalan berlubang, lampu jalan rosak, bekalan air terputus hinggalah kebajikan keluarga miskin – dapat disalurkan terus kepada pihak berwajib untuk tindakan segera.
Aduan tidak lagi tenggelam dalam birokrasi, sebaliknya mendapat maklum balas pantas daripada agensi teknikal termasuk Majlis Daerah Keningau, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Saliran, Sabah Electricity serta Jabatan Air.
Menurut Datuk AAA @ Banand, wadah digital ini bukan sekadar saluran aduan, sebaliknya menjadi platform perpaduan masyarakat.
“Rakyat bercakap, pemimpin mendengar, agensi bertindak. Itulah wajah baharu politik Liawan – pantas, praktikal dan bermakna,” katanya.
Inisiatif itu turut menyatukan pelbagai lapisan masyarakat – daripada petani, peniaga, penjawat awam, golongan muda, masyarakat Tionghua hinggalah penduduk kampung – dalam satu ruang komunikasi yang sama tanpa jurang darjat.
Cadangan mewujudkan kumpulan itu pertama kali diutarakan oleh Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Anthony Chong Kong Ming, yang juga Presiden Persatuan Hakka Keningau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Chong Sabah Keningau. Ia kemudian direstui Datuk AAA @ Banand dengan penubuhan kumpulan khas A³ – N41里亚湾华人关怀群组 atau A³ – Kumpulan Prihatin Masyarakat Cina N41 Liawan.
Melalui platform ini, masyarakat Cina di Liawan mendapat ruang komunikasi tersendiri untuk menyampaikan isu dan cadangan secara terus kepada wakil rakyat, sekali gus membuktikan kepimpinan Datuk AAA @ Banand benar-benar menjiwai denyut nadi semua kaum di kawasan itu.
Dengan pendekatan digital ini, Liawan kini muncul sebagai model hubungan rakyat dan pemimpin berasaskan teknologi – praktikal, inklusif dan responsif terhadap keperluan masyarakat.-pr/BNN





