KENINGAU: Program Santai Panggang (PSP) bersama belia Kampung Sondoton berlangsung meriah dengan suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan, semalam.
Lebih bermakna, majlis itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang meluangkan masa bersama generasi muda menikmati juadah sambil mendengar aspirasi serta pandangan mereka.
PSP bukan sekadar acara santai makan bersama, tetapi menjadi platform penting bagi belia berkongsi idea, menonjolkan bakat, selain mengeratkan hubungan antara komuniti dan kepimpinan setempat.
Menurut penganjur, program seperti ini memberi peluang kepada belia mengekspresikan potensi masing-masing, sekali gus memupuk nilai perpaduan dan keharmonian dalam kampung.
Belia Kampung Sondoton juga dilihat aktif dalam pelbagai bidang termasuk sukan, sosial dan kebudayaan, selain menyerlah sebagai tonggak perpaduan masyarakat. Semangat itu diyakini mampu melahirkan generasi berdaya saing yang bersedia menjadi pemimpin masa depan.-pr/BNN





