KOTA KINABALU: Hujan berterusan sejak 8 September lalu telah mengakibatkan bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah, melibatkan lapan daerah terkesan. Enam daripadanya mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Setakat ini, sebanyak 11 PPS masih beroperasi menempatkan 220 keluarga melibatkan 863 mangsa.
Ketua Menteri Sabah turun padang meninjau beberapa lokasi terjejas termasuk tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephen berhadapan bangunan Jesselton Quay, Kampung Sarapung di Penampang serta dua PPS di Putatan iaitu PPR Sri Keramat dan Sri Serigai.
Empat lokasi tanah runtuh yang mencatatkan korban nyawa dikenal pasti iaitu di Kampung Sarapung (Penampang), Marahang (Papar), Kampung Mook (Papar) dan Cenderakasih (Kota Kinabalu). Operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiatkan, selain pemantauan di laluan utama jalan raya yang terjejas.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan kewangan, menyediakan jambatan Bailey serta sokongan lain yang diperlukan.
Bagi meringankan beban, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia yang berpindah ke PPS akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, manakala waris mangsa yang meninggal dunia akan menerima BWI Kematian sebanyak RM10,000. Selain itu, bakul makanan turut diagihkan kepada penduduk terjejas.
Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan kini giat menjalankan pemantauan, penyaluran bantuan serta koordinasi logistik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terus terjamin. – pr/BNN





