KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman menyeru rakyat Malaysia untuk memperkukuh semangat perpaduan, menolak fanatisme perkauman dan agama, serta memperbaharui komitmen kepada solidariti, keadilan dan kemakmuran sempena sambutan Hari Malaysia ke-62.

Dalam perutusannya, Tun Musa menegaskan bahawa Malaysia yang lahir pada 16 September 1963 daripada penyatuan Malaya, Sabah dan Sarawak merupakan sebuah persekutuan unik yang dibina atas asas perpaduan, persefahaman serta visi bersama.

“Malaysia dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita,” katanya.

Beliau turut menekankan sumbangan besar Sabah dan Sarawak terhadap kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi serta kepelbagaian budaya negara, namun mengingatkan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya di Sabah, untuk mengurangkan jurang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh,” ujarnya sambil menggesa agar pembangunan dan peluang sampai ke setiap pelosok negeri agar tiada siapa yang tertinggal.

Tun Musa menegaskan tiada ruang untuk fanatisme perkauman atau agama dalam usaha membina sebuah bangsa yang bersatu. Menurutnya, Sabah sendiri menjadi teladan keharmonian dengan masyarakat berbilang etnik dan agama hidup bersama secara aman.

Beliau turut mengingatkan pemimpin serta mereka yang bercita-cita menjadi wakil rakyat agar tidak mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan kaum atau agama, sebaliknya memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal serta dasar yang mampu memperkasa rakyat dan memajukan negeri serta negara.

Dalam perutusannya, Tun Musa dan Toh Puan turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah akibat hujan berterusan yang telah meragut nyawa serta merosakkan kediaman, perniagaan dan infrastruktur.

“Dalam masa sukar ini, saya menyeru komuniti yang terjejas agar berhati-hati dan berwaspada, serta mematuhi nasihat pihak berkuasa. Marilah kita bersama menghulurkan bantuan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan gotong-royong,” katanya.

Mengakhiri perutusannya, beliau mengajak seluruh rakyat memperbaharui komitmen terhadap solidariti, keadilan dan kemakmuran. “Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah. Selamat Hari Malaysia,” katanya. – pr/BNN