KENINGAU: Sambutan Hari Malaysia ke-62 peringkat daerah Keningau yang berlangsung di Perkarangan Batu Sumpah hari ini, disambut penuh meriah dengan kehadiran pimpinan negeri dan masyarakat setempat.
Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert, mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, untuk menyampaikan ucapan tahniah dan salam hormat kepada seluruh rakyat daerah ini sempena peristiwa bersejarah tersebut.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, yang juga Ahli Parlimen Keningau serta ADUN Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Dalam kenyataannya, Rafie menegaskan bahawa Hari Malaysia adalah wadah penyatuan rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.
“Masyarakat Keningau khususnya perlu terus mengekalkan semangat kebersamaan, perpaduan dan saling menghormati demi kemajuan serta keharmonian negeri Sabah,” katanya.
Sambutan berkenaan turut memperkukuh semangat patriotisme selain mengingatkan kembali erti perpaduan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.-pr/BNN





