KOTA KINABALU: Sabah tidak boleh terus menganggap banjir sebagai bencana tahunan yang tidak dapat dielakkan, sebaliknya perlu melaksanakan langkah pencegahan jangka panjang, kata pemerhati politik, Adrian Lee yang mengkritik pendekatan reaktif kerajaan negeri.

“Setiap tahun, coraknya sama. Bandar tenggelam, keluarga dipindahkan, infrastruktur runtuh, dan hanya selepas itu kerajaan bertindak. Mengapa perlu tunggu bencana berlaku dahulu sebelum mengambil tindakan?” soalnya.

Lee berkata, kejadian banjir berulang bukan sekadar bencana alam semata-mata, tetapi berpunca daripada kelemahan struktur yang lama diabaikan, antaranya longkang tersumbat, sistem perparitan usang dan pembangunan pesat tanpa kawalan.

“Ini bukan perkara misteri. Longkang kekal tersumbat kerana penyelenggaraan diabaikan. Sungai melimpah kerana tidak diurus dengan baik. Bandar tenggelam kerana pembangunan dibenarkan tanpa tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau memberi amaran bahawa banjir mengancam nyawa, mengganggu bekalan utiliti, merosakkan pertanian serta perniagaan, selain memutuskan hubungan komuniti — kesan yang jauh lebih besar daripada sekadar kesulitan sementara.

Bagi mengatasinya, Lee mencadangkan penyelenggaraan longkang secara konsisten menggunakan peralatan moden, pemasangan sensor di sungai dan longkang bagi amaran awal, serta menaik taraf sistem perparitan bandar melalui pelebaran longkang, pembinaan kolam takungan dan tangki bawah tanah.

“Jepun ada tangki takungan bawah tanah, Kuala Lumpur ada Terowong SMART. Sabah tidak memerlukan projek mega sebesar itu, tetapi versi lebih kecil seperti terowong lencongan banjir atau takungan bawah tanah boleh dilaksanakan jika dirancang dengan baik,” katanya.

Lee turut mencadangkan infrastruktur hijau, termasuk turapan telap air di perumahan baharu, taman hujan di ruang awam, serta pemulihan hutan bakau. Pengerukan terkawal dan penanaman semula hutan di hulu sungai, katanya, boleh membantu aliran semula jadi sungai dan mengurangkan mendapan.

Beliau merujuk contoh antarabangsa, antaranya Singapura yang berjaya mengurangkan kawasan banjir sebanyak 97% menerusi jadual penyelenggaraan ketat, manakala program Sponge City di China menggunakan infrastruktur hijau untuk menyerap sehingga 90% hujan. Belanda pula berjaya menurunkan paras banjir dengan memberi lebih ruang kepada sungai, bukan menyekatnya.

Mengkritik kelewatan bantuan dan janji yang gagal ditunaikan, Lee berkata banjir di Sabah adalah kegagalan politik selain bencana alam.

“Kerajaan sering mengumumkan rancangan mengatasi banjir, tetapi akhirnya melupakannya sehingga bencana berikutnya berlaku. Ini bukan kepimpinan, ini kelalaian,” katanya.

Lee menggesa rakyat menuntut kepimpinan yang bertanggungjawab dan menekankan pencegahan, sambil memberi amaran bahawa tanpa perubahan, Sabah akan terus berdepan malapetaka yang sama setiap musim hujan. – pr/BNN.