KENINGAU: Keprihatinan seorang pemimpin bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata, tetapi dibuktikan dengan tindakan. Atas semangat itu, Wakil Rakyat N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus menunjukkan komitmen beliau dalam menyokong pelajar serta pasukan dari daerah ini yang bakal menggalas cabaran di pentas negeri dan kebangsaan.

Mewakili beliau, Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Mohamad Raihan Jinode, menyerahkan sumbangan ikhlas kepada beberapa kumpulan dan individu terpilih.

Antara penerima termasuk Kumpulan Nasyid (Perempuan) dan Tulisan Jawi (Lelaki) KAFA Masjid At-Taqwa Keningau yang akan mewakili Sabah ke Pertandingan Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Oktober ini. Sumbangan diserahkan kepada wakilnya, Mohd Azraei Azri Mohd Rozi.

Selain itu, Pasukan Gimrama SJK (C) Yuk Yin Keningau turut menerima sumbangan sebagai persiapan menghadapi 1st Progressive FIG Championship yang akan berlangsung di Arena Sukan Sentosa, Kuala Lumpur, pada 29 September hingga 3 Oktober depan. Sumbangan disampaikan kepada guru pengiring, Lasinih George.

Turut diraikan ialah Kumpulan Nasyid Cinnamon Al-Falah Tabika KEMAS Kampung Limbawan, yang akan bersaing dalam Pertandingan Nasyid Kanak-Kanak sempena Hari Potensi KEMAS Peringkat Negeri Sabah di Beaufort pada 26 hingga 27 September ini. Sumbangan diterima oleh Cecelia Majiun.

Dalam aspek akademik, Annuar juga menyalurkan sumbangan kepada Sherly Abdullah, yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Biologi Pemuliharaan dengan Kepujian.

Menurut Annuar, sokongan sebegini adalah bentuk dorongan moral dan motivasi agar generasi muda berani melangkah lebih jauh serta mengharumkan nama Keningau dan Sabah di peringkat lebih tinggi.

“Keberanian anak-anak kita mewakili negeri dan negara adalah bukti Liawan melahirkan generasi berdaya saing. Sumbangan ini hanyalah tanda sokongan kecil, namun diharap memberi makna besar dalam perjalanan mereka,” katanya.-pr/BNN