KENINGAU: Harapan, semangat, dan kebanggaan menjadi azimat buat Kontinjen Gimrama SJKC Yuk Yin yang bakal menggalas cabaran di pentas antarabangsa apabila beraksi pada 1st Progressive FIG Championships di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bermula 29 September hingga 3 Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang hadir ke sesi latihan pasukan itu di Dewan SJKC Yuk Yin, menyuntik semangat kepada peserta muda selain menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan.
Beliau berkata penyertaan pelajar sekolah rendah dari pedalaman Sabah ke kejohanan berprestij itu adalah pencapaian luar biasa yang wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
“Tahniah dan selamat berjuang! Kehadiran kalian bukan sahaja mengangkat nama sekolah, tetapi juga membawa nama Keningau dan Sabah ke peringkat antarabangsa. Saya yakin disiplin, semangat kesukanan dan kegigihan latihan ini akan memberi pengalaman berharga kepada kalian semua,” katanya.
Sokongan moral turut hadir daripada isterinya, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, serta Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau merangkap Presiden Persatuan Hakka Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming.
Kontinjen SJKC Yuk Yin itu akan bersaing dengan pasukan gimrama lain dari dalam dan luar negara, sekali gus memperlihatkan kemampuan bakat cilik dari Sabah di pentas antarabangsa.-pr/BNN





