KENINGAU: Suasana sambutan Hari Malaysia di daerah ini disemarakkan dengan penganjuran Trig Hill Fun Hike, yang berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat menerusi aktiviti riadah berkonsepkan pelancongan komuniti.
Program anjuran Bukit Trig dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan keindahan alam semula jadi, malah mempromosikan potensi Bukit Trig sebagai destinasi rekreasi serta pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, dengan turut disaksikan Pengurus Trig Hill merangkap penganjur, Zinin Rahmat; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Haji Mohd Zaki Zakaria; dan Pengerusi Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau, Mohd Khairi Mabin Abdullah.
Rafie berkata, penganjuran itu berperanan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, selain memperkukuh perpaduan komuniti melalui aktiviti sihat.
“Kami berharap Trig Hill Fun Hike dapat dijadikan acara tahunan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung, di samping memperkenalkan Keningau sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Zinin menegaskan Bukit Trig mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu di daerah ini.
“Selain keindahan alam semula jadi, lokasi ini sesuai untuk riadah keluarga dan pelbagai aktiviti komuniti. Melalui kerjasama pelbagai pihak, kami yakin Bukit Trig akan menjadi antara tarikan utama di Keningau,” katanya.
Dengan landskap bukit yang mempesona serta udara segar, Trig Hill Fun Hike bukan sahaja mengukuhkan semangat kebersamaan, malah mengangkat Bukit Trig sebagai destinasi pelancongan baharu yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini.-pr/BNN





