KENINGAU: Kejohanan Sepak Takraw Piala BMBR 2025 berlangsung penuh meriah di Gelanggang Sukan Kampung Lambanga sempena penganjuran Karnival Sukan BMBR, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan belia dan masyarakat setempat.

Kejohanan anjuran Sekretariat BMBR dengan kerjasama Pengerusi JKKK Kampung Lambanga itu menghimpunkan lapan pasukan dari kawasan N.40 Bingkor dalam saingan tertutup yang mencerminkan nilai perpaduan dan kebersamaan komuniti.

Inisiatif penganjuran program ini digerakkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik bersama Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Encik Rafie Robert, bagi menggalakkan belia mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat selain memperkukuh silaturahim melalui sukan.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan disempurnakan Ketua Kampung Lambanga, Encik Dayu @ Jeffry Maduli, yang mewakili Encik Rafie Robert selaku Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja membuka ruang kepada bakat muda dalam arena sepak takraw, malah menjadi platform mengeratkan kerjasama komuniti kampung. Ia selaras dengan aspirasi menjadikan sukan sebagai medium pembangunan belia dan masyarakat,” katanya.

Kejohanan sehari itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran penduduk sekitar memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Selain sebagai wadah riadah, program ini diharapkan mampu melahirkan lebih ramai atlet tempatan berbakat yang dapat mengangkat nama Bingkor ke peringkat daerah dan negeri.-pr/BNN