TAMBUNAN: Sabah melakar sejarah baharu dalam sektor pertanian apabila guarana, tanaman berkhasiat dari Brazil, dilancarkan sebagai komoditi terbaharu yang berpotensi tinggi menjana pendapatan rakyat serta menggerakkan ekonomi negeri.
Majlis Perasmian dan Pelancaran Pembelian Hasil Guarana serta Penyerahan Bibit Guarana Percuma itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, di Dewan Terbuka Pisompuruan, Tambunan, baru-baru ini.
Dr. Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau merangkap ADUN Tambunan, menegaskan tanaman guarana sudah melalui kajian intensif oleh institusi pengajian tinggi tempatan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan disahkan selamat ditanam serta tidak dikategorikan sebagai tanaman berbahaya.
“Guarana mampu meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan B40. Jika diusahakan secara industri berskala besar, ia bukan sahaja melonjakkan ekonomi Sabah, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya penuh keyakinan.
Menurutnya, keunikan guarana yang kaya khasiat dan nilai pasaran tinggi menjadikannya antara tanaman alternatif paling berdaya maju untuk diusahakan secara komersial.
Beliau optimis guarana bakal muncul sebagai “emas hijau” baharu Sabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi tradisional sedia ada seperti kelapa sawit dan getah.-pr/BNN





