KENINGAU: Kehadiran Timbalan Penyelaras STARSABAH Parlimen Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, bersama Geng Gelan Star dari Kampung Kota Ayangan pada majlis makan malam di Mee Woo Resort, baru-baru ini, melambangkan jiwa kepimpinan yang dekat dengan rakyat.

Majlis itu bukan sahaja merapatkan hubungan silaturahim, malah menjadi ruang beliau menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi hanyut di Sungai Apin-Apin baru-baru ini.

Dalam kesempatan sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Geng Gelan Star yang tanpa mengira lelah, tampil membantu operasi mencari dan menyelamat.

Ishak berkata, semangat sukarelawan dan keprihatinan masyarakat adalah kekuatan sebenar rakyat Sabah dalam menghadapi bencana.

“Setiap detik bersama rakyat bukan sekadar acara sosial, tetapi amanah besar yang harus dipikul dengan rendah hati. Usaha sukarelawan ini membuktikan rakyat Sabah sentiasa bersatu hati ketika diuji,” katanya.

Beliau menegaskan, kepimpinan tidak hanya diukur melalui jawatan atau sanjungan, sebaliknya melalui keberanian hadir bersama rakyat ketika saat getir.

Pertemuan itu menyerlahkan nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan, sekali gus menegaskan komitmen Ishak untuk terus berdiri di sisi rakyat dengan tindakan nyata dan hati yang tulus.-pr/BNN