KENINGAU: Program Outreach Ziarah Prihatin yang digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman bersama Gerak Kerja UPPM N.41 Liawan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Bahagian Keningau, memberi sinar baharu kepada penduduk yang berdepan kesusahan di Kampung Bariawa Ulu (Mukim Kali) dan Kampung Purakogis (Mukim Luagan).
Dalam program berkenaan, empat penerima diraikan, iaitu Musidin Samir, Muzaviah Abdul Haid dan Juin Ubod dari Kampung Bariawa Ulu, manakala adik Ariana Alisah Ahmad Yadiy dari Kampung Purakogis turut menerima perhatian khas.
Program itu bukan sekadar menyalurkan bantuan kebajikan, tetapi menjadi wadah menyemai harapan serta sokongan moral kepada golongan yang memerlukan.
Annuar menegaskan, tanggungjawab seorang pemimpin tidak hanya dinilai melalui pembangunan fizikal, sebaliknya turut merangkumi kehadiran di sisi rakyat ketika mereka berdepan kesukaran.
“Setiap senyuman yang tercipta hari ini adalah bukti bahawa keprihatinan bukan sekadar kata-kata, tetapi tindakan yang memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan komitmen berterusan untuk memastikan tiada seorang pun penduduk di Liawan dipinggirkan daripada perhatian kerajaan.
“Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, kita mahu pastikan setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, menerima sokongan sewajarnya. Ini amanah besar yang wajib dijaga,” tambahnya.
Program Ziarah Prihatin itu sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan yang berteraskan empati serta tindakan berasaskan keperluan rakyat menjadi jambatan utama dalam membina keyakinan dan kesejahteraan masyarakat Liawan.-pr/BNN





